User Tools

Site Tools


sejarahbangi-1950-1959

Keratan Akhbar Berkaitan Bangi: 1950-1959

1950-02-24: Ketua "Geng Kajang", Liew Kon Lim

Pada 24 Februari 1950, antara lain, $20,000 ditawarkan oleh Polis Selangor bagi sebarang maklumat berkenaan Liew Kon Lim (Ketua “Geng Kajang” dan selatan Selangor, digelar “Voo Soo”, “Bearded Wonder” atau “Bearded Terror”, kerana membela janggut tebal - juga “Chow Wah”).
Liew Kon Lim (Berjanggut)Liew Kon Lim (Bercukur)
Liew Kon Lim. Kiri: berjanggut. Kanan: bercukur.
Beliau dilahirkan di Kajang pada tahun 1918, dan pernah bersekolah di Kajang High School, sebelum dipindahkan ke sebuah sekolah Cina di Kajang. Di sana beliau mula didedahkan dengan ideologi komunisme, sebelum menyertai tentera MPAJA, ketika penaklukan Jepun ke atas Malaya pada tahun 1941, lalu menjadi ketua platunnya pada tahun 1943 (Sekolah cina itu kemudiannya diambil alih oleh pihak tentera British pada tahun 1948). Setelah itu beliau menjadi jurubahasa Lau Yew (salah seorang pemimpin utama PKM, terbunuh pada tahun 1948 - beliau berjaya menyelamatkan diri), dan kini mengepalai operasi-operasi gerila di sekitar Kajang. Di pihak British, pasukan |The Suffolk Regiment, 1st Battalion (Pengalaman: Dunkirk (1940), D-Day @ Normandy (1944)) adalah antara yang ditugaskan memburu beliau, dan kedua belah pihak ini sering bertempur.
Pada 4 Mei 1950, orang kanan beliau, Chan Chee Long, antara yang terbunuh di dalam sebuah pertempuran di pinggir Ladang Kajang, berdekatan suatu selekoh 3 batu ke selatan Kajang.
Kemungkinan kawasan pertempuran di pinggir Ladang Kajang.
Kemungkinan kawasan pertempuran di pinggir Ladang Kajang.

NOTA 1: Liew Kon Lim akhirnya terbunuh dalam satu serangan di Hutan Simpan Kuala Langat (Selatan), pada 7/7/1952.

NOTA 2: Sejarah Kajang High School: Hanafiah Lubis, 2010: "THE FORGOTTEN PAST OF KHS":-

NOTA 3: Mungkinkah sekolah Cina yang dimaksudkan ialah Sekolah Hua Qiao? “In Kajang, the left-leaning Hua Qiao (华侨学校) was founded in 1912 and the Kuomintang-related Yu Hua (育华学校) in 1918.” (Diana WONG, LIN Chew Man and TAN Pok Suan, 2014: |"Migration, Settlement and the Rise of a New Middle Class in Malaysian Chinese Society: A Case Study of Kajang", m.s.69). Maklumat lanjut berkenaan sejarah sekolah Cina aliran kiri di Kajang:-

NOTA 4: Maklumat lanjut tentang sekolah Cina di Malaya/Malaysia:-
Nan Xia, Yanan Yang & Yok Fee Lee, 2018: |"Chinese Education in Malaysia under Malaysian Ethnic Politics"

NOTA 5: Pengalaman salah seorang anggota ||The Suffolk Regiment: Arthur Campbell, 1953: |"Jungle Green" (PDF 1/PDF 2/Teks)

1950-10-24: Denda Tertinggal Basikal

Saman $2 ke atas seorang warga yang tertinggal basikal di Bangi.

1951-03-14: Perkampungan Baru

Kerajaan British menjalankan operasi besar-besaran di seluruh Malaya, bagi memindahkan masyarakat setinggan Cina ini ke perkampungan baru yang dirancang dan dibina berdekatan bandar, khusus untuk memutuskan hubungan mereka dengan kubu-kubu tentera gerila komunis di pinggir hutan (Rancangan Briggs). Antara yang terbesar ialah di Jinjang, kira-kira 5 batu ke selatan dari Kuala Lumpur, seluas 400 ekar (asalnya ladang getah) dan menempatkan 17,000 orang penduduk.
Kelahiran bandar baru Jinjang, 5 batu ke selatan dari Kuala Lumpur, bakal menempatkan 1,500 buah keluarga setinggan, pekerja ladang dan lombong, serta pekerja bandar Kuala Lumpur.
Kelahiran bandar baru Jinjang, 5 batu ke selatan dari Kuala Lumpur, bakal menempatkan 1,500 buah keluarga setinggan, pekerja ladang dan lombong, serta pekerja bandar Kuala Lumpur.
Sementara itu, sebahagian besar daripada 24,000 penduduk Ampang (kawasan hitam), bakal dipindahkan di beberapa perkampungan berasingan, antaranya di Sungei Buloh. Beberapa petempatan besar yang lain terletak di Subang dan Semenyih. Antara yang dipindahkan ke Semenyih ialah penduduk kawasan hitam di sekitar Bangi.

NOTA 1: Koleksi anekdot dan gambar berkaitan perkampungan baru:-

  1. Yip Yoke Teng @ The Star, 12 May 2015: |"Jinjang grows out of bad reputation"

NOTA 2: Maklumat lanjut tentang darurat: 1948-07-15: Awal Darurat

1951-05-20: Ladang Connemara

Seorang warga ditangkap di Ladang Connemara, Bangi, kerana didakwa berhubung dengan anggota tentera komunis.

NOTA: Maklumat lanjut tentang Ladang Connemara: 1929-03-07: Gabungan Ladang Balgownie dan Connemara.

1952-07-07: Liew Kon Lim Terbunuh

Ketua pasukan tentera komunis “Geng Kajang” yang bergiat aktif di Kajang dan selatan Selangor sejak 1948, Liew Kon Lim (34 thn, digelar “Voo Soo”, “Bearded Wonder” atau “Bearded Terror”, kerana membela janggut tebal - juga “Chow Wah”), bersama teman wanita beliau, Ah Yin, telah dibunuh oleh Second Lieutenant Raymond Hands (23 thn), seorang anggota muda |The Suffolk Regiment, 1st Battalion. Selepas pertempuran (termasuk pengeboman dari udara) di kawasan antara Ladang Brooklands dan bahagian utara Hutan Simpan Kuala Langat, kumpulan beliau ditemui sedang berehat di bahagian selatan hutan tersebut, 3 batu dari Tanjong Sepat, lalu terbunuh di situ. Mayat beliau kemudiannya dipamerkan di khalayak ramai di beberapa balai polis di selatan Selangor, sebagai kempen propaganda dan perang psikologi. Second Lieutenant Raymond Hands kemudiannya dianugerahi ucapan tahniah oleh pembesar-pembesar British dan Menteri Besar Selangor, Raja Uda, sebelum bersara dan melanjutkan pelajaran di University of Oxford, England.
Liew Kon Lim, bersama teman wanita (bukan Ah Yin).
Liew Kon Lim, bersama teman wanita (bukan Ah Yin).

NOTA 1: Liputan peristiwa ini di luar negara: Singleton Argus (NSW, Australia: 1880 - 1954), Monday 7 July 1952, page 1: |"'The Bearded Wonder' Killed In Malaya"

NOTA 2: Maklumat lanjut tentang Liew Kon Lim: 1950-02-24: Ketua "Geng Kajang", Liew Kon Lim.

NOTA 3: Maklumat lanjut tentang Second Lieutenant Raymond Hands: Hurst Johnian Club - Newsletters: |Jun 2012 – Spring 2012 Newsletter, m.s. 24: “OBITUARIES - Raymond Hands (Red Cross 50)”
Raymond Hands
Raymond Hands (The Telegraph, 13 Feb 2012: |"Army Obituaries - Raymond Hands")

NOTA 4: Pameran relik dan replika berkaitan:-

Pisau lipat Liew Kon LimReplika topi pasukan Raymond Hands
Kiri: Pisau lipat yang ditemui bersama mayat Liew Kon Lim. Kanan: Replika topi pasukan Raymond Hands.
Keduanya dipamerkan di |Muzium Suffolk Regiment (|Friends of the Suffolk Regiment, 2009: "Malaya Recreated For The Regimental Museum: Ray Hands MC").

NOTA 5: Kawasan Hutan Simpan Kuala Langat yang telah menjadi tempat persembunyian tentera komunis ini kian mengecil akibat pencerobohan untuk pertanian (serta pembakaran yang berkaitan) sejak puluhan tahun lamanya. Rujukan:-

  1. Lim Chia Ying @ The Star, 24 Feb 2009: |"Illegal use of reserve"
  2. Professor Dr. Ahmad Ismail FASc FRSB, 2010: |"Save Langat South Forest Campaign"
  3. Bernama @ Berita Harian, 20 April 2020: |"80 hektar hutan simpan Kuala Langat terbakar"

1952-11-06: Lawatan Penasihat British

Lawatan Penasihat British yang baru, Mr. H.G. Hammet, ke daerah Ulu Langat, termasuk Bangi.

NOTA 1: Perihal Mr. H.(Harold) G. Hammet:-

NOTA 2: Maklumat berkaitan:-

  1. Malayan Civil Service (MCS) dalam Sejarah PTD: |"Ringkasan Sejarah".
  2. Straits Settlement Royal Naval Volunteer Reserve dalam Sejarah TLDM, 2016: |"PENUBUHAN PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE".
  3. Peranan H.G.Hammett dalam tempoh peralihan Jepun-British, secara terperinci: Kevin Blackburn, Karl Hack, 2012: |"War Memory and the Making of Modern Malaysia and Singapore" (PDF), m.s. 84-85.

1953-04-18: Polis di Ladang Broome

Surat pembaca dari Seremban, mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis di Ladang Broome yang telah membantu menarik lori beliau dari dalam gaung di Bangi.

1953-06-15: Sekatan Komunis

Pengurus Ladang Jempol (Bahau, Negeri Sembilan), dalam perjalanan dari Bangi ke Jelai dalam kereta perisai, ditahan di sebuah sekatan jalan raya tentera komunis. Beliau berjaya melepaskan diri tanpa sebarang kecederaan.

1954-01-16: Bangunan Baru Sekolah Bangi

Sebuah bangunan baru bakal dibina di Sekolah Melayu Bangi (kini Sekolah Kebangsaan Bangi (SK Bangi)) bagi menempatkan kelas Sains Rumahtangga.

NOTA 1: Sejarah Sekolah Bangi: 1936-11-16: Peruntukan bagi Sekolah Bangi

NOTA 2: Korikulum sains rumahtangga di sekolah-sekolah Melayu menggabungkan ilmu saintifik (barat) semasa, dengan sosiobudaya tradisi Melayu: “The curriculum for girls had lower standards in arithmetic and geography, and varied the practical and handwork sections of the boys’ curriculum. Domestic science was to be taught wherever possible, and drill and games were a part of the curriculum in all schools. Care was taken that school hours allowed pupils time to assist their families. For Malay girls, the curriculum emphasised additional subjects, which were commonly taught in schools throughout the Empire, and focussed on the home and children.” (Anna Maree Doukakis, 2012: |"'Now we want Malays to awake': Malay Women Teachers in Colonial Johor and their Legacy.")

1954-01-30: Perayaan Dalam Darurat

Sempena sambutan Tahun Baru Cina, perintah berkurung dilonggarkan untuk 2 hari bagi daerah Ulu Langat, antaranya di Bangi, dari 7pm ke 1am.

1955-07-05: Perintah Berkurung

Perintah berkurung di beberapa kawasan ladang dan hutan di sekitar Kajang, Bangi, Semenyih, dan Sungei Lallang, berikutan aktiviti penculikan di Jalan Kajang-Dengkil, oleh saudara kandung askar komunis Liew Kon Lim.

1955-07-28: PRU: Perikatan Menang Besar

Keputusan Pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu (satu-satunya pilihanraya umum sebelum merdeka): Parti Perikatan (pimpinan Tunku Abdul Rahman) menang 51, PMIP (kini PAS) 1, dan Parti Negara pimpinan (Dato Onn Jaafar) kalah di kesemua 30 kerusi yang dipertandingkan. Bangi hujan lebat pada hari mengundi, namun ada pengundi yang dikatakan menolak tawaran untuk menumpang kereta Parti Perikatan ke pusat mengundi, kerana menyokong Parti Negara.
Bangi terletak dalam parlimen Langat: Abu Bakar Baginda (Perikatan) mengalahkan Mohd Nazir Hj Abdul Jalil (Parti Negara)
Bangi terletak dalam parlimen Langat: Abu Bakar Baginda (Perikatan) mengalahkan Mohd Nazir Hj Abdul Jalil (Parti Negara) dengan majoriti 4,922. Sumber gambar dan maklumat lanjut: Harith Faruqi Sidek, 2013: |"Sekilas Kenangan: Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu 1955".

NOTA 1: Pihak British menyebelahi Dato' Onn dan Parti Negara dalam pilihanraya ini (juga dalam Pilihanraya Tempatan 1952, melalui parti beliau ketika itu, Independence of Malaya Party (IMP)), bagi mengimbangi pengaruh nasionalis dan perkauman di dalam parti Perikatan, selain usaha melengahkan kemerdekaan Malaya. Maklumat lanjut:-

  1. Joseph M. Fernando @ The Star, 8 Jun 2007: |"The rebel in Onn Jaafar"

NOTA 2: Setelah Parti Negara tidak lagi aktif selepas kematian Dato' Onn pada tahun 1962, Dato' Mohd Nazir Hj Abdul Jalil menyertai Parti Perikatan (Dharmala N.S., 2005: |Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan: Kebenaran di Sebalik Perjuangan: Tradisi Kepimpinan Berjiwa Rakyat, m.s.169 (PDF)) dan kemudiannya bertanding dan memenangi kerusi DUN Kajang untuk 2 penggal (1964-1969, dan 1971-1973) (Wikipedia).
Bangunan ato' Nazir, Kajang
Bangunan Dato' Nazir (kiri), dibina di Kajang pada tahun 1970, di tapak bangunan pejabat daerah Ulu Langat yang lama (kanan) (Eric Lim, 2020: |History of Kajang). Perpustakaan Kajang menyewa tingkat atas bangunan ini sejak 1975 (Dr Shafie Abu Bakar, 2011: |"Melawat Perpustakaan Beranang, Semenyih Dan Kajang"), kini dipindah milik kepada Restoran Sate Hj Samuri. (Sumber gambar terkini: hooyewlim @ Steemit, 2019: |"Restoran Sate Kajang Hj Samuri"

1956-02-24: Kes Salah Laku Di Sekatan

Beberapa kes aduan salah laku pihak berkuasa ketika pemeriksaan warga di pintu-pintu sekatan di perkampungan. Kes-kes ini telah mencetus siasatan, seterusnya sesi pengadilan di mahkamah oleh pihak kerajaan.

NOTA 1: Hasil siasatan mendapati 61 orang telah menjadi mangsa kes-kes salah laku ini, sejak pemeriksaan ketat mula dijalankan pada 5 januari 1956 di beberapa perkampungan. Di Semenyih, beberapa bantahan terbuka berlaku di Kachau, Semenyih pada 12 dan 14 Januari 1956. Maklumat lanjut tentang pengadilan dakwaan kes-kes salahlaku di sekatan ini: “The Semenyih villagers had never liked gate checks and found the daily process of actually getting out Of the New Village extremely irksome. With the end of the house curfew at 0500 hours, the tappers - men and women in separate lines - usually filed past two decrepit booths just outside the Kachau Gate. While most were simply frisked by Police and moved along, some men and women were randomly picked and led into the booths to be searched by having their clothing loosened and their bodies felt under them, or even having their outer garments removed. The tappers then had to wait outside in a group till the perimeter curfew was lifted at 0600 hours. …” (Kumar Ramakrishna, 2002: "Emergency Propaganda - The Winning of Malayan Hearts and Minds 1948-1958", m.s.173)

NOTA 2: “1948-1956 Satu sekatan yang dinamakan Bangi Gate dibina di Jalan Bangi Lama berhampiran dengan kedai Ang Giap sekarang. Bangi Gate dibuat daripada dawal berduri dan sesiapa tidak boleh melintasinya dari jam 7.00 malam hingga 6.00 pagi. Setinggan Cina terutamanya yang dipindahkan ke Kampung Baru Semenyih, mestlah diperiksa terlebih dahulu sama ada mereka membawa susu lembu, beras, ubat atau apa-apa bahan di dalam tong susu getah atau di dalam anak baju perempuan. Sebuah khemah atau trak tentera berdinding canvas digunakan untuk memeriksa perempuan yang dicurigai. Kebanyakan mereka sebagai penoreh getah di Ladang Sungai Purun. Ladang Sungai Purun telah dijadikan zon industri Jalan Bangi Lama”. (Wikipedia, "Kampung Sungai Purun")
Bangi Gate
Lokasi Bangi Gate (Kini kedai Ang Giap), di Jalan Bangi Lama, di antara Bangi dan Semenyih.

1956-03-03: Penubuhan Majlis Tempatan

Penubuhan majlis tempatan di Semenyih, Bangi, Dengkil, Beranang dan Ulu Langat.

1956-12-03: Pengurus Ladang Sungai Purun Terbunuh

Penolong pengurus Ladang Sungai Purun, Mr. Richard Entwistle, ditembak mati oleh pengawal kem R.A.F. di Jalan Bangi Lama, dalam perjalanan pulang dari Semenyih.

NOTA: “Ladang Sungai Purun telah dijadikan zon industri Jalan Bangi Lama” (Wikipedia).

1958-01-01: Jalan Bangi-Semenyih Banjir

Paras air Sungai Gombak dan Sungai Klang meningkat, menyebabkan banjir di beberapa tempat, antaranya menenggelamkan sebahagian Jalan Bangi-Semenyih.

1958-07-07: Kejohanan Badminton Negeri

Abu Bakar Rahid dari Bangi, berjaya ke peringkat akhir kejohanan badminton Melayu Selangor.

1958-11-19: Laporan Banjir (Berita Harian)

Banjir di pantai timur dan barat, antara lain menenggelamkan sebahagian Jalan Reko-Dengkil (Kajang-Bangi).
Jalan Reko-Bangi
Kemungkinan kawasan bahagian jalan yang ditenggelami banjir.

NOTA 1: Ini adalah keluaran ke-438 akhbar Berita Harian, yang mula diterbitkan tahun 1957. Akhbar Berita Harian adalah kepunyaan syarikat |Straits Times Press Limited, satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan rumi ketika itu (Akhbar Utusan Melayu (ditubuhkan tahun 1939) masih dalam tulisan jawi). Sumber beritanya adalah terjemahan terus dari Straits Times, atau dihantar oleh pemberita sendiri di bandar-bandar besar melalui mesin teleprinter. Ketua pengarangnya ialah A. Samad Ismail.
Wartawan-Wartawan Melayu Kuala Lumpur, mungkin akhir 1950-an
Wartawan-Wartawan Melayu Kuala Lumpur (mungkin akhir 1950-an), bersama Tunku Abdul Rahman (barisan depan, 4 dari kiri, diapit oleh A. Samad Ismail (Berita Harian) di sebelah kiri beliau, dan Said Zahari (Utusan Melayu) di sebelah kanan (3 dari kiri). Gambar dan maklumat lanjut: Ghazali Ismail, 1962: |"Wartawan Dalam Seribu Suasana", m.s.7 & 225 (PDF).

NOTA 2: Beberapa tahun selepas ini (1961), Said Zahari telah mengetuai mogok membantah pengambil alihan Utusan Melayu oleh UMNO, menyebabkan beliau tidak lagi dibenarkan masuk ke Tanah Melayu. Pada tahun 1963, beliau ditangkap pula di Singapura dalam suatu operasi penangkapan politik di sana, dan ditahan dalam ISA selama 17 tahun. Maklumat lanjut:-

  1. Jomo Kwame Sundaram @ New Straits Times - April 19, 2016: |"A salute to Said Zahari"
  2. Steven Sim @ Berita Harian, 12 Oktober 2019: |"Mengimbas 80 tahun Utusan Malaysia"

NOTA 3: Sejarah Straits Times: |"LIVING HISTORY - 170 years of The Straits Times" (PDF)

1959-01-03: Jejak Kasih

Usaha jejak kasih para pembaca akhbar. Antaranya Ismail Karimi, dari Sungai Kembong, Bangi, mencari abang serta bekas imam kampungnya, Mohd Amin (mungkin di Sumatera, ada anak bernama Saodah).
Kg Sungai Kembong
Sungai Kembong, Bangi.

1959-02-19: Ruangan Pa' Belalang

Surat pembaca dari Bangi, mengadu masalah peribadinya di ruangan “Pa' Belalang”, salah satu “Feature” dalam Berita Harian ketika itu. (Ghazali Ismail, 1962: |"Wartawan Dalam Seribu Suasana", m.s.8)
Ruangan Pa' Belalang
Ruangan Pa' Belalang, Berita Harian.

1959-07-03: Pendaratan Cemas

Kapal terbang jenis Auster, dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, membuat pendaratan cemas di tanah lepang di sebuah ladang getah berdekatan Bangi Road, Semenyih. Kedua-dua juruterbangnya tidak cedera.
Auster J/5F Aiglet Trainer, 1953
Auster J/5F Aiglet Trainer, 1953: kemungkinan rekabentuk kapal terbang yang seakan ini.

1959-07-21: Temasya Budaya (KUBU)

Beberapa siri temasya sukan dan seni di sekolah-sekolah di sekitar Bangi:-

  • 23/07/1959: Hari Ibu Bapa di Sekolah Umum Bangi: temasya sukan dan pameran hasil pertukangan, serta pementasan sandiwara “Bercherai Kasih” dan “Anika Ragam”, oleh Che Gu Idrus.
  • 17/09/1959: Temasya yang sama di Sekolah Umum Rinching Hilir, Bangi.
  • 20-21/12/1959: Malam seni dan sandiwara di Sekolah Kebangsaan Bangi, oleh Pemuda pemudi Kumpulan Budi Utama: 20/12: “Mahsuri”, 21/12: “Malam Seni”.

NOTA 1: “Sekolah Melayu Bangi”, “Sekolah Umum Bangi” dan “Sekolah Kebangsaan Bangi” adalah sekolah yang sama. Latarnya ialah beberapa perubahan pada dasar pelajaran ketika itu: Laporan Razak 1956 (dikuatkuasakan oleh Akta Pelajaran 1957) menggolongkan “Sekolah Melayu” ke dalam “Sekolah Umum”. Ini diikuti Laporan Rahman Talib 1960 (dikuatkuasakan oleh Akta Pelajaran 1961), yang menukar “Sekolah Umum” kepada “Sekolah Kebangsaan”, dan ianya kekal sehingga kini. (Noriah Mohamed, Darwis Harahap, 2013: "Mutiara Budi")

NOTA 2: Kumpulan Budi Utama (KUBU) ialah sebuah badan kebudayaan yang ditubuhkan pada tahun yang sama (1959), dan dilaporkan bergiat aktif dalam seni pementasan dan tarian asli Melayu:-

Antara yang terlibat dalam penubuhannya dan turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa pertamanya ketika itu ialah Sasterawan Negara Usman Awang (Mohamad Mokhtar Hassan, 1999: |"Key concepts in Usman Awang's short stories : developing a critical tradition" (PDF).
Pada 8 Ogos 1960, KUBU menyuarakan sikap kritisnya terhadap dasar bahasa di dalam Laporan Rahman Talib 1960, yang dianggap terlalu mengutamakan Bahasa Inggeris. Sebuah jawatankuasa kecil ditubuhkan bagi memperhalusi laporan tersebut, dan berakhir dengan suatu perjumpaan dengan En. Abdul Rahman Talib (Menteri Pelajaran) pada 29 Ogos 1960:-

1959-08-25: Masjid Batu Tiga, Jalan Bangi

Antara lain melaporkan penduduk Kampong Batu Tiga, Jalan Bangi, Semenyih, bergotong-royong menyiapkan Masjid Batu Tiga, Jalan Bangi.
Masjid Batu 3 (2013)Masjid Batu Tiga, Jalan Bangi
Kiri: Gambar Masjid Batu 3 (Jabatan Agama Islam Selangor, 2013), Kanan: Peta lokasi.

1959-08-31: Majlis Khatam Quran

Majlis khatam Quran di rumah Che gu R. Zalwa R. Ahmad, Batu Satu, Jalan Bangi Semenyih.
Majlis khatam Quran di rumah Che gu R. Zalwa R. Ahmad, Batu Satu, Jalan Bangi Semenyih.

1959-11-10: Dato' Kampo Radjo

ADUN Semenyih, Dato' Kampo Radjo, mengumumkan peruntukan untuk pembinaan dan penaiktarafan beberapa batang jalan, antaranya meninggikan sebatang jalan di Sungai Buah, Bangi.
Kg Sungai Buah, Bangi
Kampung Sungai Buah, Bangi.

NOTA: Dato' Kampo Radjo adalah ADUN Semenyih yang pertama (1959). Ketika itu beliau di dalam Parti Perikatan. Ringkasan riwayat hidup beliau: |Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu jilid 4 : m/s 600 (PDF). Laporan-laporan di akhbar mengenai Dato' Kampo Radjo:-

1959-12-18: Banjir di Kajang dan Bangi

Banjir di Kajang dan kawasan sekitar. Antara yang ditenggelami air: Bandar Kajang (Jalan Mendaling, Kg (Sri?) Jambu, Kg Paya), Jalan Kajang-Bangi, Jalan Semenyih-Bangi.
Kawasan banjir di Kajang, Jalan Kajang-Bangi, dan Jalan-Semenyih Bangi.Jalan Kajang-BangiJalan Bangi-Semenyih
Kawasan banjir di Kajang, Jalan Kajang-Bangi, dan Jalan-Semenyih Bangi.

Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.

sejarahbangi-1950-1959.txt · Last modified: 2020/10/24 10:32 by sazli